SESI LIBAT URUS PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK UMPSA30 BERSAMA ALUMNI PERKUKUH AGENDA KELANGSUNGAN UNIVERSITI

SESI LIBAT URUS PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK UMPSA30 BERSAMA ALUMNI PERKUKUH AGENDA KELANGSUNGAN UNIVERSITI

Kuala Lumpur, 22 Mei 2024. Bahagian Pengurusan Strategik, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) bersama alumni graduan sebagai usaha memperkukuh hala tuju pembangunan universiti secara inklusif, strategik dan menyeluruh.

Program ini dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan bernas, input strategik serta saranan konstruktif daripada alumni UMPSA yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor industri utama negara termasuk teknologi, kejuruteraan, tenaga, pendidikan, pembuatan dan sektor perkhidmatan.

Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Strategik, alumni merupakan aset penting universiti yang bukan sahaja mencerminkan reputasi UMPSA melalui pencapaian kerjaya masing-masing, malah mempunyai jaringan profesional serta pengalaman industri yang signifikan untuk dimanfaatkan bagi pembangunan masa hadapan universiti.

Melalui sesi ini, alumni turut berkongsi pandangan dalam pelbagai aspek strategik termasuk:

  • Pengukuhan kurikulum akademik berasaskan keperluan industri semasa,
  • Peningkatan kebolehpasaran dan daya saing graduan,
  • Pemerkasaan pembangunan bakat dan kepimpinan mahasiswa,
  • Penjenamaan UMPSA sebagai Universiti Teknologi Terapan Negara,
  • Pengukuhan hubungan universiti-industri melalui jaringan kolaboratif.

Selain itu, sesi libat urus ini juga memberi tumpuan kepada penyelarasan hala tuju universiti dengan agenda nasional seperti Transformasi Pendidikan Tinggi Negara, Revolusi Industri 4.0 dan agenda kelestarian global melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Sokong Pendidikan Lestari dan Industri Hijau

Sesi ini turut menonjolkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan pendidikan berteraskan kelestarian apabila alumni berkongsi bagaimana praktik SDG diterapkan dalam sektor profesional seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan pembuatan lestari. Perkongsian ini bukan sahaja menzahirkan peranan UMPSA dalam mendukung agenda pembangunan mampan negara, malah memberikan inspirasi kepada pelajar untuk mengintegrasikan nilai kelestarian dalam kerjaya masa hadapan.

Bahagian Pengurusan Strategik menjelaskan bahawa input dan saranan yang diterima daripada alumni ini akan menjadi nilai tambah penting dalam pembentukan Pelan Strategik UMPSA 2026–2030, khususnya dalam usaha memperkukuhkan ekosistem akademik, memperluas jaringan industri serta meningkatkan reputasi UMPSA di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program libat urus ini merupakan kesinambungan daripada sesi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), rakan industri dan agensi yang telah diadakan dan bakal diteruskan dengan beberapa sesi kelompok strategik lain sebelum Pelan Strategik UMPSA30 dimuktamadkan.

Kredit: Bahagian Pengurusan Strategik, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti

STRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_2.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_3.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_4.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_5.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_6.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_7.jpgSTRATEGIK_UMPSA30_BENGKEL_1.jpg


Print   Email