SESI LIBAT URUS BERSAMA ALUMNI UMPSA PERKUKUH PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK UMPSA30
22 June 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus giat melaksanakan usaha dalam merangka Pelan Strategik UMPSA 2026–2028 menerusi sesi libat urus bersama pemegang taruh strategik. Sesi ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama dalam proses pembangunan pelan strategik yang menyeluruh, bertujuan mengumpul pandangan, sumbang saran dan komentar daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Terdahulu, sesi libat urus pertama yang melibatkan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, industri dan agensi rakan kerjasama strategik telah berlangsung pada 6 Mei 2024. Respon yang diterima daripada sesi tersebut amat memberangsangkan, sekali gus memberikan landasan kukuh untuk perancangan masa depan universiti.
Sebagai kesinambungan kepada inisiatif tersebut, UMPSA meneruskan sesi libat urus bersama alumni dan graduan universiti. Sesi ini dianggap penting kerana alumni merupakan aset strategik yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia pekerjaan serta mampu menyumbangkan perspektif berharga terhadap kemajuan universiti.
Menurut wakil universiti, maklum balas daripada alumni berupaya memperkukuhkan aspek perancangan strategik melibatkan penjenamaan universiti, pengajaran dan pembelajaran, penerokaan bidang baharu serta peningkatan perkhidmatan. Tambahan pula, pengalaman mereka sebagai bekas mahasiswa/i memberikan dimensi yang unik terhadap cadangan penambahbaikan yang boleh diimplementasikan.
UMPSA percaya bahawa penglibatan alumni dalam proses pembangunan pelan strategik bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti graduannya, malah memperluas impak universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berpaksikan pemegang taruh.