BENGKEL PENGURUSAN RISIKO UMPSA 2025

bki 0578

11 Disember 2025 I Bengkel Pengurusan Risiko UMPSA 2025 anjuran Unit Pengurusan Risiko (UPR), Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) bersama Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar telah berlangsung dengan jayanya. Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datin Noorazah Binti Omar, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Governan, Risiko dan Integriti (JGRI). Turut hadir bersama semasa perasmian adalah YH Dato’ Saiful Bahri Bin Ahmad Bakarim, Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Puan Marlina Binti Mamat, Penasihat Undang-Undang dan Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Bin Mohd Turan, Pengarah Kanan (Strategik & Risiko), PPSK.

Bengkel ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan berkaitan pengurusan risiko kepada semua pegawai risiko kluster dan jabatan serta memberi pemahaman yang jelas dalam kaedah dan cara pengisian maklumat risiko ke dalam Dashboard Risiko UMPSA. Bengkel ini juga merupakan platform untuk pegawai pengurusan risiko kluster berkomunikasi secara fizikal bersama semua ahli jawatankuasa di bawah kluster masing-masing.

Bengkel yang dilaksanakan selama satu hari ini telah dihadiri seramai hampir 60 orang staf yang terdiri daripada Pegawai Pengurusan Risiko Kluster dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kluster. Sokongan dan keterlibatan semua peserta yang datang dari pelbagai Jabatan menunjukkan bahawa semangat dan kesungguhan mereka menjadi antara penggerak utama kepada kecemerlangan pengurusan risiko di UMPSA.

Bengkel ini dilaksanakan dengan dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan berkaitan Pengurusan Risiko oleh penceramah yang dijemput dari Fakulti Pengurusan Industri iaitu Dr. Mohamad Reeduan Bin Mustapha. Seterusnya perbincangan di dalam kumpulan mengikut kluster telah dibuat dengan dibantu oleh 3 orang fasilitator yang terdiri daripada kalangan ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko UMPSA iaitu Mejar Dr. Imaduddin Bin Abidin, Mejar Ts. Hazami Bin Che Hussain dan Ts. Mohd Marzuki Bin Mohamed.

Seiring perkembangan tadbir urus moden, pengurusan risiko bukan lagi sekadar keperluan pematuhan, tetapi satu keutamaan strategik yang memastikan kelangsungan, kecekapan dan reputasi organisasi. Dengan pengurusan risiko yang berstruktur, setiap jabatan mampu membuat keputusan lebih tepat, mengoptimumkan sumber serta mengelakkan impak negatif yang boleh menjejaskan operasi.

Sehubungan itu, bengkel yang diadakan ini amat signifikan kerana ia memberi ruang kepada pegawai risiko dan ahli jawatankuasa untuk memahami dengan lebih jelas garis panduan, proses penilaian risiko dan kaedah pengisian templat risiko yang digunakan di peringkat universiti. Melalui latihan ini, diharap agar semua peserta akan lebih bersedia untuk mengenal pasti risiko jabatan masing-masing serta mencadangkan langkah kawalan yang lebih efektif.

Pihak UPR mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan & terima kasih kepada penceramah, fasilitator dan semua peserta bengkel yang telah terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Semoga bengkel yang dilaksanakan dapat memberi manfaat dan segala ilmu dan perbincangan dapat diaplikasikan dalam tugasan harian demi kecemerlangan jabatan dan universiti.


Print   Email