MENJANA HALA TUJU PELAN STRATEGIK UMPSA30
Kuala Lumpur, 6 Mei 2024
Bahagian Pengurusan Strategik,PPSK, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan sesi libat urus bersama pihak Kementerian, pemain industri serta agensi-agensi rakan kerjasama strategik sebagai langkah proaktif dalam usaha pembangunan Pelan Strategik UMPSA 2026-2028.
Sesi ini merupakan platform penting bagi mendapatkan sumbangsaran bermakna daripada pemegang taruh luar universiti dalam usaha memastikan hala tuju UMPSA kekal relevan dan berpaksikan kepada kehendak semasa, baik di peringkat nasional mahupun global. Pelan strategik yang bakal dirangka ini akan memberi penekanan kepada tujuan penubuhan universiti, penjajaran dengan dasar-dasar kementerian, serta kelestarian kerjasama bersama industri dan agensi strategik.
Naib Canselor UMPSA, , dalam ucapannya menegaskan bahawa sesi libat urus ini adalah sebahagian daripada proses inklusif yang mendukung nilai-nilai keterlibatan strategik universiti bersama rakan luar. “Pendekatan ini penting bukan sahaja untuk mendapatkan maklum balas, tetapi juga bagi menyelaraskan aspirasi universiti dengan ekosistem pembangunan negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Pelbagai dasar dan inisiatif di peringkat kementerian telah dikenal pasti sebagai pemangkin utama yang boleh disinergikan dengan pelan tindakan UMPSA. Manakala, input dari pihak industri dan agensi turut digariskan sebagai faktor penting dalam membentuk strategi yang responsif terhadap kehendak pasaran, cabaran global serta pembangunan modal insan yang holistik.
Sesi ini juga telah membuka ruang kepada dialog terbuka, perkongsian pengalaman dan cadangan bernas yang akan diteliti dalam peringkat seterusnya pembangunan pelan strategik.
UMPSA komited untuk terus membina jaringan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan dalam memastikan universiti kekal sebagai institusi peneraju ilmu, inovasi dan pembangunan bakat negara.