UMPSA terus cemerlang dalam Penilaian Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) MS ISO 9001:2015 oleh SIRIM QAS International

PEKAN, 26 September 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah selesai menjalani Audit Pemantauan MS ISO 9001:2015 oleh SIRIM QAS International baru-baru ini. 

Sesi audit itu telah berlangsung dengan lancar selama tiga hari bermula pada 24 September dengan mesyuarat pembukaan dipengerusikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Mesyuarat tersebut turut disertai oleh pengurusan tertinggi UMPSA, dekan-dekan dan ketua-ketua pusat tanggungjawab.

MS ISO 9001:2015 ialah piawaian antarabangsa yang menetapkan keperluan bagi sistem pengurusan kualiti (QMS) dalam sesebuah organisasi. 

Audit Pemantauan QMS yang dijalankan pada tahun ini adalah selari dengan pencapaian UMPSA pada tahun 2024 yang telah memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2015 (No. Sijil: QMS 04126).

Audit selama tiga hari itu telah dikendalikan oleh dua orang juruaudit dari SIRIM QAS International yang diketuai oleh Hajah Hanida Ghazali dan dibantu oleh Jamilah Husain. 

Manakala penyelarasan audit pula telah dilakukan oleh Pengarah Kanan, Pengurusan Kualiti, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti, UMPSA, Profesor Ir. Dr. Norazwina  Zainol.

Sebanyak tiga pusat tanggungjawab dan dua fakulti telah terlibat dalam audit pemantauan kali ini iaitu Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Jabatan Bendahari, Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Pusat Akreditasi Akademik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Pusat Sains Matematik (PSM). 

Profesor Dr. Yatimah dalam ucapan pembukaan berkata, kejayaan UMPSA memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2015 membuktikan tadbir urus universiti yang cemerlang serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi.

“UMPSA telah berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2015. 

“Pencapaian ini membuktikan tadbir urus universiti yang cemerlang dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi. 

“Oleh itu, proses audit pemantauan amat penting bagi memastikan pematuhan kepada piawaian, pemantauan prestasi, kawalan dan semakan pengurusan, keberkesanan proses serta pencapaian objektif organisasi dapat dicapai dan dipatuhi,” ujarnya. 

Bagi memastikan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) UMPSA terus selari dengan hala tuju Eco-Campus, Pusat Pengurusan Risiko telah membangunkan daftar risiko perubahan iklim dan cuaca yang telah dimuatkan ke dalam dashboard risiko UMPSA.

Audit pemantauan kali ini telah ditangguhkan pada 26 September 2025, jam 3.00 petang, dan dipengerusikan oleh Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat), Profesor Ts. Dr. Kamal bin Yusoh. 

Beliau turut menghargai komitmen berterusan semua pihak yang terlibat dalam menegakkan amalan tadbir urus yang cekap, sistematik dan telus, sekali gus memelihara budaya kualiti sebagai asas kukuh kepada kemajuan dan daya saing UMPSA di persada global.

Pihak juruaudit turut memuji semangat kerjasama, hubungan baik dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua staf UMPSA yang terlibat secara langsung dalam sesi audit pemantauan kali ini. 

Mereka amat berpuas hati dengan semua bahan bukti dan dokumen yang disediakan oleh pihak-pihak yang terlibat, sehingga UMPSA tidak menerima sebarang Laporan Ketidakakuran (NCR).

Disediakan Oleh: Hazlina Faizal, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)  

ISO_Sirim_2025_11.jpgISO_Sirim_2025_10.jpgISO_Sirim_2025_9.jpgISO_Sirim_2025_8.jpgISO_Sirim_2025_7.jpgISO_Sirim_2025_6.jpgISO_Sirim_2025_5.jpgISO_Sirim_2025_4.jpgISO_Sirim_2025_3.jpgISO_Sirim_2025_2.jpgISO_Sirim_2025_16.jpgISO_Sirim_2025_15.jpgISO_Sirim_2025_14.jpgISO_Sirim_2025_13.jpgISO_Sirim_2025_12.jpg