SESI PENYERAHAN TUGAS PENGERUSI DAN SEKRETARIAT MESYUARAT MAJLIS PENGURUSAN KUALITI – UNIVERSITI AWAM (MPQ-UA)
Sabah, 26 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) secara rasmi telah menerima penyerahan tugas sebagai Pengerusi dan Sekretariat Mesyuarat Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA) daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS). Majlis penyerahan ini berlangsung pada 26 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Biruni, Fakulti Sains dan Teknologi, UMS.
Sesi penuh bermakna ini telah disempurnakan dengan penyerahan tugas rasmi daripada Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal bin Zakaria, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UMS dan mantan Pengerusi MPQ-UA sesi 2024/2025, kepada Profesor Ts. Dr. Kamal bin Yusoh yang kini memegang amanah sebagai Pengerusi MPQ-UA bagi sesi 2026/2027.
Turut hadir ialah barisan sekretariat baharu MPQ-UA sesi 2026/2027, iaitu Puan Hazlina binti Faizal selaku Setiausaha, serta Puan Zainab binti Daud dan Cik Nur Umirah binti Abu Kassim sebagai Sekretariat. Majlis ini turut disertai oleh sekretariat terdahulu, iaitu Puan Mashilla Nilus, Setiausaha MPQ-UA sesi 2024/2025, bersama Cik Aevenna Petrus sebagai Sekretariat.
Penyerahan ini melambangkan kesinambungan kepimpinan dan komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya kualiti di universiti awam, sekali gus memperteguh jaringan kerjasama strategik antara institusi demi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Turut berlangsung di dalam sesi ini adalah sesi penanda aras pengurusan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan dan juga amalan EKSA dan KIK oleh pihak UMS.
UMPSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UMS atas komitmen dan sumbangan sepanjang tempoh memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Sekretariat MPQ-UA. Diharapkan kerjasama erat antara universiti awam akan terus diperkukuh demi kecemerlangan sistem pengurusan kualiti institusi pengajian tinggi.

