JERAYAWARA BAHAGIAN PENARAFAN & DATA KE FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN MEKANIKAL DAN AUTOMOTIF (FTKMA) SEMASA MESYUARAT FAKULTI
Pekan, 14 Ogos 2025 – Bahagian Penarafan & Data, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) telah mengadakan sesi jerayawara secara dalam talian bersama Fakulti Teknologi Mekanikal dan Automotif (FTMA) pada jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi bersempena Mesyuarat Fakulti.
Sesi jerayawara ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Irene Ting Wei Kiong, Pengarah, (Bahagian Penarafan & Data) PPSK, Prof. Chm. Dr. Chong Kwok Feng, Pengarah (Pusat Strategi dan Pembangunan Penyelidikan) serta Puan Norul Fadilah binti Abdullah dari Jabatan Penyelidikan & Inovasi.
Tujuan utama jerayawara ini adalah untuk memberi penerangan berhubung inisiatif penarafan universiti, menggariskan kepentingan pengurusan dan pengumpulan data yang tepat, serta membincangkan strategi penambahbaikan berterusan bagi memperkukuh kedudukan universiti dalam aspek penyelidikan, inovasi, dan reputasi akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kehadiran delegasi PPSK secara dalam talian telah disambut oleh Dekan Fakulti Teknologi Mekanikal dan Automotif, Prof. Dr. Mahadzir bin Ishak @ Muhammad bersama barisan pensyarah fakulti tersebut. Sesi perkongsian ini turut menjadi platform untuk bertukar pandangan dan idea strategik demi mencapai matlamat bersama universiti.
Melalui sesi jerayawara ini, PPSK berharap dapat meningkatkan kefahaman dan kerjasama antara fakulti dan pusat dalam memastikan data yang dikumpul adalah berkualiti, tepat, dan sejajar dengan keperluan penarafan universiti.
PPSK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Fakulti Teknologi Mekanikal dan Automotif atas kerjasama erat dan sokongan yang diberikan sepanjang sesi berlangsung.